Saturday, March 14, 2009

BAHASA ISYARAT

Bahasa isyarat ialah bahasa yang digunakan oleh orang Pekak untuk berkomunikasi secara visual antara satu sama lain.
Dalam sistem bahasa isyarat, orang Pekak menggunakan pergerakan tangan, badan dan muka untuk menyampaikan sesuatu maksud, pandangan, idea dan sebagainya manakala orang Pekak pun menggunakan deria penglihatan untuk menerima dan memahami maksud isyarat tersebut.Bahasa isyarat mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dari segi bahasa, budaya, agama dan geografi. Seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, komuniti orang Pekak di setiap negara di seluruh dunia mempunyai bahasa isyarat yang berbeza. Misalnya Bahasa Isyarat Amerika (American Sign Language) dan Bahasa Isyarat Jepun banyak mempunyai perbezaan.
Di Malaysia, komuniti orang Pekak menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sebagai bahasa ibunda. BIM merupakan bahasa isyarat 'natural' yang dibentuk oleh orang Pekak sendiri atas faktor-faktor seperti komunikasi orang Pekak harian dan budaya orang Pekak.
Sejak pengasasan Sekolah Kanak-kanak Pekak Persekutuan Pulau Pinang, BIM digunakan sebagai bahasa komunikasi secara meluasnya oleh komuniti orang Pekak di negara ini. BIM melambangkan identiti dan budaya yang sebenar bagi orang Pekak Malaysia.
http://www.mfd.org.my

Wednesday, March 11, 2009

KEMUDAHAN UNTUK KANAK-KANAK OKU

myMetro » Setempat
ALEPS bantu kanak-kanak kurang upaya
KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Dasar Pandang Ke Timur (ALEPS) menyumbangkan 15 kerusi roda kanak-kanak, enam alat penyokong kaki dan enam alat bantuan sokongan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Taman Sri Gombak di sini, semalam.Penyerahan peralatan itu disampaikan Presidennya, Za’ba Youn kepada pusat pemulihan berkenaan yang disaksikan Duta Jepun ke Malaysia, Takashi Hoshiyama.Za’ba berkata, peralatan seperti kerusi roda kanak-kanak sukar didapati di pasaran dalam negara selain harganya yang tinggi.“Ini kali keempat kami menyediakan peralatan ini kepada kanak-kanak kurang upaya sebagai sokongan supaya mereka boleh berdikari.
“Kami tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak, oleh itu ini satu bentuk bantuan yang dapat diberikan supaya kanak-kanak berkenaan memperoleh kehidupan lebih baik,” katanya.
Secara keseluruhan 117 kerusi roda kanak-kanak, 50 alat penyokong kaki serta 50 alat bantuan sokongan diedarkan kepada 36 PDK di Selangor.Menurutnya, kebanyakan kerusi roda berkenaan untuk kegunaan kanak-kanak berusia empat tahun hingga 15 tahun.“Kami tidak dapat membuat pengedaran secara menyeluruh kerana permintaan terhadap peralatan terbabit amat tinggi sedangkan hanya 100 barangan boleh dibawa masuk setiap kali penghantaran,” katanya.

Tuesday, March 10, 2009

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 2009

Kecacatan Haziq tidak patahkan semangat

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA dan FATIHAH MOHAMEDberita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Kekurangan yang ada pada diri Muhammad Haziq Samrat, 14, sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan dengan lebih cemerlang.
Biarpun mengalami kecacatan fizikal dari pinggang ke bawah, dia tetap mempunyai fikiran positif terhadap ketentuan Ilahi itu malah tidak mahu terpinggir seperti manusia normal lain.
Muhammad Haziq menggunakan papan luncur untuk memudahkannya bergerak seharian kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.
"Saya gembira kerana setiap kali keluar pada hujung minggu, diri saya menjadi tumpuan orang ramai kerana menggunakan papan luncur untuk bergerak sekali gus menjadikan saya ramai kenalan," katanya.
Kecekalan serta sikapnya yang positif itu mendorongnya terpilih antara penerima anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsan 1430 Hijrah yang diadakan di Dataran Merdeka di sini semalam.
Kejayaan tersebut membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM22,000 berserta plak dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Mohammad Haziq menyifatkan penganugerahan itu sebagai satu penghargaan besar dalam hidupnya kerana dia tidak pernah menyangka diberikan anugerah seumpama itu terutama kerana dirinya orang kurang upaya (OKU).

Sunday, March 8, 2009

Kejayaan mereka....

Terapi spa orang buta
Oleh ROSMAWATI MION
(di petik dari utusanonline,6 mac 2009)

NASIBNYA tidak seperti orang lain. Ketika kanak-kanak sebayanya masih seronok bermain, dia terpaksa membataskan pergerakan ekoran penglihatannya yang semakin kabur.
Nikmat yang diberikan Tuhan untuk melihat keindahan alam hanya dipinjamkan buat seketika. Seawal usia 9 tahun, Wan Anisuzilawati Wan Ibrahim sudah menghadapi masalah penglihatan ekoran mengalami glaukoma.
Memasuki usia 11 tahun keadaannya semakin teruk. Bermula dengan mata kiri, lama-kelamaan ia merebak ke mata kanan dan mencecah 12 tahun, dunia menjadi gelap apabila dia disahkan buta sepenuhnya.
Kala itu, hidup wanita yang lebih mesra dengan panggilan Suzi itu mula berubah. Bayangkan, diri yang dahulunya boleh melihat tiba-tiba terpaksa bergelap bukan untuk sesaat mahupun beberapa jam tetapi seumur hidup.
Sukar untuk dia menerima kenyataan itu lebih-lebih pada waktu itu usianya masih terlalu muda. Tambah memeningkan apabila doktor menyatakan ia disebabkan keturunan, sedangkan adik-beradiknya yang lain semuanya normal dan tiada langsung petanda berhadapan dengan masalah glaukoma. Bahkan setahunya, tiada sesiapa pun dalam keluarganya yang buta. Hanya dia seorang sahaja.
Akibatnya, Suzi mula mengasingkan diri daripada masyarakat. Kekurangan itu membuatkan Suzi rasa terpinggir dalam kelompok kanak-kanak normal yang lain. Dunia juga dirasakan bagai tidak memihak pada dirinya.Namun, kekuatan yang diberikan keluarga membuatkan akhirnya Suzi bangkit untuk terus mengejar cita-citanya. Keinginan untuk meneruskan persekolahan walaupun buta diluahkan kepada keluarga.
Atas semangat itu, Suzi sanggup ke Johor Bahru, Johor, untuk belajar Braille biarpun usianya mungkin tidak sebaya dengan kanak-kanak lain di sekolah tersebut. Kemudian, dia meneruskan persekolahan sehingga ke tingkatan enam di Kuala Lumpur.
Biarpun mendapat keputusan yang baik, tetapi Suzi gagal mendapat tempat di pusat pengajian tinggi. Setelah difikirkan, dia mengambil keputusan mendalami ilmu kemahiran kerana dalam keadaan dirinya yang buta, kemahiran lebih baik untuk memudahkannya mendapat pekerjaan.
''Saya cuba menimba ilmu kemahiran kerana risau melihatkan ramai teman senasib yang belajar di universiti tetapi akhirnya tidak mendapat kerja setimpal. "Mungkin, ramai tidak yakin untuk mengambil pekerja buta seperti kami. Ada juga yang kecewa dengan situasi itu terus mengambil keputusan bekerja sebagai ahli terapi.
''Dan, kini saya rasa keputusan mendalami kemahiran adalah tepat. Sekurang-kurangnya saya tidak menganggur dan kerja yang saya lakukan juga merupakan satu bidang yang menyeronokkan," kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini.
Suzi, 26, adalah salah seorang ahli terapi spa di Soul of Java, dipercayai spa pertama di Malaysia menggunakan khidmat terapi daripada kalangan orang buta.Sebelum ini, andai ada yang menggunakan khidmat golongan ini pun lebih menjurus kepada refleksologi bukannya rawatan spa.
Selain Suzi, terdapat seorang lagi ahli terapi spa yang juga daripada kalangan orang buta bekerja di spa tersebut iaitu Nurul Syafikah Abdullah, 22.
Menurut pemilik Soul Of Java, Sri Utami Dewi, kesediaannya menggunakan khidmat Orang Kurang Upaya (OKU) dalam perkhidmatan spa mungkin mengundang kehairanan di hati masyarakat kerana golongan buta selalunya dikatakan mahir dalam refleksologi, bukannya urutan badan.
Bagaimanapun, dua pekerjanya itu adalah ahli terapi spa terlatih. Kedua-duanya mendapat latihan secukupnya untuk melayakkan mereka menjadi ahli terapi spa.
Mengikuti kursus
Kedua-dua mereka telah mengikuti kursus yang dianjurkan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) selama setahun dan kemudian menyambung pembelajaran mengenai rawatan terapi spa di Energy Academy, iaitu pusat yang bertanggungjawab menganjurkan kursus jangka pendek itu dengan kerjasama MAB.
Antara yang mereka pelajari adalah urutan gaya Jepun dan Sweden, refleksologi cara Jerman, anatomi, asas akupunktur, rawatan badan termasuk lulur, melilit tubuh (wrap) dan pupur muka.
Turut dipelajari adalah pengenalan mengenai aromaterapi, bantuan pernafasan kecemasan atau resusitasi pulmonari kardio (CPR), kebersihan dan keselamatan serta didedahkan juga tentang tanda-tanda penyakit yang sering dihidapi masyarakat.
Melengkapkan lagi pembelajaran, pelajar diajar tentang etika pengurusan spa, mengendalikan pelanggan, kemahiran berkomumikasi dan Bahasa Inggeris. Jelas Sri, keputusannya mengambil orang buta bekerja di spa itu mulanya bukan dirancang. Kebetulan, salun lamanya baru ditutup ekoran masalah mencari pekerja.
Langsung, apabila ditawarkan mengambil golongan OKU melalui Energy Academy yang ketika itu sedang merancang mengadakan kursus terapi spa jangka pendek yang pertama untuk orang buta, Sri terus bersetuju.
''Tiada salahnya saya mencuba. Lagipun, pengalaman lalu membuatkan saya serik untuk mengambil pekerja asing. Hendak mencari pekerja tempatan, tidak ramai yang betul-betul mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam rawatan spa.
''Cuma, saya tidak boleh mengambil kesemua pekerja daripada kalangan orang buta. Sekurang-kurangnya perlu ada seorang atau dua pekerja celik untuk memudahkan lagi urusan perjalanan spa. Oleh itu, hanya dua orang sahaja golongan OKU yang diambil," kata Sri.
Manakala dua lagi pekerja, Sri mengambil wanita yang benar-benar memerlukan bantuan dan mempunyai cita-cita untuk memajukan diri mereka. Salah seorang adalah ibu tunggal berasal dari Sabah, Rahmawani Amin, 41, yang inginkan kehidupan lebih terjamin untuk diri dan anak lelakinya.
Sementara seorang lagi, Maherah Mohd. Noor, 26, sememangnya mencari peluang untuk mempelajari terapi spa bagi membolehkannya membuka spa sendiri di Kuching, Sarawak satu hari nanti.
Keempat-empat mereka telah ditaja oleh Sri untuk mengikuti program terapi spa Energy-MAB selama lima bulan merangkumi sesi pembelajaran dan latihan praktikal. Syaratnya, sebaik tamat pengajian, mereka perlu bekerja di Soul of Java milik Sri selama dua tahun.
''Kini, sudah lebih dua bulan mereka bekerja di salun ini. Memandangkan penggunaan orang buta dalam terapi spa masih baru, jadi setiap kali pelanggan datang untuk mendapatkan rawatan, pihak salun akan mencadangkan mereka menggunakan khidmat golongan OKU ini.
''Apa yang mengejutkan ramai pelanggan berpuas hati dengan mutu perkhidmatan golongan OKU ini. Sebabnya, apabila orang buta melakukan lulur atau urutan, mereka bekerja atas berpandukan deria sentuhan dan bau.
''Oleh itu, mereka akan melakukan dengan bersungguh-sungguh bukan hanya melepaskan batuk di tangga sahaja," ujar ibu kepada seorang anak ini.
Sebenarnya akui Sri, menggunakan khidmat orang buta ini ada pro dan kontranya. Kala mempunyai pekerja yang semuanya celik penglihatan, Sri tidak pernah ada masalah untuk menukar susun atur perabot dalam salunnya. Tetapi kini, setiap apa yang dilakukan perlu mengambil kira pekerja OKU ini.
Malah sebelum mereka memulakan tugasan di Soul of Java, Sri turut mengajar mereka menggunakan pengangkutan awam dari rumah ke salun. Bagi memudahkan lagi tugas golongan itu, setiap bahan yang digunakan telah disukat dan dibungkuskan mengikut setiap rawatan.
Justeru, andai ada yang ingin melakukan rawatan, golongan ini hanya perlu mengambil satu bungkus bahan yang diingini berdasarkan bau dan membancuhnya. Biarpun ia nampak remeh, namun bagi Sri langkah itu bukan sahaja memudahkan mereka bekerja tetapi cara tersebut sebenarnya dapat mengelakkan daripada berlakunya pembaziran dan kebersihannya lebih terjamin.
Selain menawarkan khidmat orang buta, lebih istimewa Soul of Java adalah sebuah spa yang hanya dikhususkan untuk wanita sahaja.