Terapi spa orang buta
Oleh ROSMAWATI MION
(di petik dari utusanonline,6 mac 2009)
NASIBNYA tidak seperti orang lain. Ketika kanak-kanak sebayanya masih seronok bermain, dia terpaksa membataskan pergerakan ekoran penglihatannya yang semakin kabur.
Nikmat yang diberikan Tuhan untuk melihat keindahan alam hanya dipinjamkan buat seketika. Seawal usia 9 tahun, Wan Anisuzilawati Wan Ibrahim sudah menghadapi masalah penglihatan ekoran mengalami glaukoma.
Memasuki usia 11 tahun keadaannya semakin teruk. Bermula dengan mata kiri, lama-kelamaan ia merebak ke mata kanan dan mencecah 12 tahun, dunia menjadi gelap apabila dia disahkan buta sepenuhnya.
Kala itu, hidup wanita yang lebih mesra dengan panggilan Suzi itu mula berubah. Bayangkan, diri yang dahulunya boleh melihat tiba-tiba terpaksa bergelap bukan untuk sesaat mahupun beberapa jam tetapi seumur hidup.
Sukar untuk dia menerima kenyataan itu lebih-lebih pada waktu itu usianya masih terlalu muda. Tambah memeningkan apabila doktor menyatakan ia disebabkan keturunan, sedangkan adik-beradiknya yang lain semuanya normal dan tiada langsung petanda berhadapan dengan masalah glaukoma. Bahkan setahunya, tiada sesiapa pun dalam keluarganya yang buta. Hanya dia seorang sahaja.
Akibatnya, Suzi mula mengasingkan diri daripada masyarakat. Kekurangan itu membuatkan Suzi rasa terpinggir dalam kelompok kanak-kanak normal yang lain. Dunia juga dirasakan bagai tidak memihak pada dirinya.Namun, kekuatan yang diberikan keluarga membuatkan akhirnya Suzi bangkit untuk terus mengejar cita-citanya. Keinginan untuk meneruskan persekolahan walaupun buta diluahkan kepada keluarga.
Atas semangat itu, Suzi sanggup ke Johor Bahru, Johor, untuk belajar Braille biarpun usianya mungkin tidak sebaya dengan kanak-kanak lain di sekolah tersebut. Kemudian, dia meneruskan persekolahan sehingga ke tingkatan enam di Kuala Lumpur.
Biarpun mendapat keputusan yang baik, tetapi Suzi gagal mendapat tempat di pusat pengajian tinggi. Setelah difikirkan, dia mengambil keputusan mendalami ilmu kemahiran kerana dalam keadaan dirinya yang buta, kemahiran lebih baik untuk memudahkannya mendapat pekerjaan.
''Saya cuba menimba ilmu kemahiran kerana risau melihatkan ramai teman senasib yang belajar di universiti tetapi akhirnya tidak mendapat kerja setimpal. "Mungkin, ramai tidak yakin untuk mengambil pekerja buta seperti kami. Ada juga yang kecewa dengan situasi itu terus mengambil keputusan bekerja sebagai ahli terapi.
''Dan, kini saya rasa keputusan mendalami kemahiran adalah tepat. Sekurang-kurangnya saya tidak menganggur dan kerja yang saya lakukan juga merupakan satu bidang yang menyeronokkan," kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini.
Suzi, 26, adalah salah seorang ahli terapi spa di Soul of Java, dipercayai spa pertama di Malaysia menggunakan khidmat terapi daripada kalangan orang buta.Sebelum ini, andai ada yang menggunakan khidmat golongan ini pun lebih menjurus kepada refleksologi bukannya rawatan spa.
Selain Suzi, terdapat seorang lagi ahli terapi spa yang juga daripada kalangan orang buta bekerja di spa tersebut iaitu Nurul Syafikah Abdullah, 22.
Menurut pemilik Soul Of Java, Sri Utami Dewi, kesediaannya menggunakan khidmat Orang Kurang Upaya (OKU) dalam perkhidmatan spa mungkin mengundang kehairanan di hati masyarakat kerana golongan buta selalunya dikatakan mahir dalam refleksologi, bukannya urutan badan.
Bagaimanapun, dua pekerjanya itu adalah ahli terapi spa terlatih. Kedua-duanya mendapat latihan secukupnya untuk melayakkan mereka menjadi ahli terapi spa.
Mengikuti kursus
Kedua-dua mereka telah mengikuti kursus yang dianjurkan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) selama setahun dan kemudian menyambung pembelajaran mengenai rawatan terapi spa di Energy Academy, iaitu pusat yang bertanggungjawab menganjurkan kursus jangka pendek itu dengan kerjasama MAB.
Antara yang mereka pelajari adalah urutan gaya Jepun dan Sweden, refleksologi cara Jerman, anatomi, asas akupunktur, rawatan badan termasuk lulur, melilit tubuh (wrap) dan pupur muka.
Turut dipelajari adalah pengenalan mengenai aromaterapi, bantuan pernafasan kecemasan atau resusitasi pulmonari kardio (CPR), kebersihan dan keselamatan serta didedahkan juga tentang tanda-tanda penyakit yang sering dihidapi masyarakat.
Melengkapkan lagi pembelajaran, pelajar diajar tentang etika pengurusan spa, mengendalikan pelanggan, kemahiran berkomumikasi dan Bahasa Inggeris. Jelas Sri, keputusannya mengambil orang buta bekerja di spa itu mulanya bukan dirancang. Kebetulan, salun lamanya baru ditutup ekoran masalah mencari pekerja.
Langsung, apabila ditawarkan mengambil golongan OKU melalui Energy Academy yang ketika itu sedang merancang mengadakan kursus terapi spa jangka pendek yang pertama untuk orang buta, Sri terus bersetuju.
''Tiada salahnya saya mencuba. Lagipun, pengalaman lalu membuatkan saya serik untuk mengambil pekerja asing. Hendak mencari pekerja tempatan, tidak ramai yang betul-betul mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam rawatan spa.
''Cuma, saya tidak boleh mengambil kesemua pekerja daripada kalangan orang buta. Sekurang-kurangnya perlu ada seorang atau dua pekerja celik untuk memudahkan lagi urusan perjalanan spa. Oleh itu, hanya dua orang sahaja golongan OKU yang diambil," kata Sri.
Manakala dua lagi pekerja, Sri mengambil wanita yang benar-benar memerlukan bantuan dan mempunyai cita-cita untuk memajukan diri mereka. Salah seorang adalah ibu tunggal berasal dari Sabah, Rahmawani Amin, 41, yang inginkan kehidupan lebih terjamin untuk diri dan anak lelakinya.
Sementara seorang lagi, Maherah Mohd. Noor, 26, sememangnya mencari peluang untuk mempelajari terapi spa bagi membolehkannya membuka spa sendiri di Kuching, Sarawak satu hari nanti.
Keempat-empat mereka telah ditaja oleh Sri untuk mengikuti program terapi spa Energy-MAB selama lima bulan merangkumi sesi pembelajaran dan latihan praktikal. Syaratnya, sebaik tamat pengajian, mereka perlu bekerja di Soul of Java milik Sri selama dua tahun.
''Kini, sudah lebih dua bulan mereka bekerja di salun ini. Memandangkan penggunaan orang buta dalam terapi spa masih baru, jadi setiap kali pelanggan datang untuk mendapatkan rawatan, pihak salun akan mencadangkan mereka menggunakan khidmat golongan OKU ini.
''Apa yang mengejutkan ramai pelanggan berpuas hati dengan mutu perkhidmatan golongan OKU ini. Sebabnya, apabila orang buta melakukan lulur atau urutan, mereka bekerja atas berpandukan deria sentuhan dan bau.
''Oleh itu, mereka akan melakukan dengan bersungguh-sungguh bukan hanya melepaskan batuk di tangga sahaja," ujar ibu kepada seorang anak ini.
Sebenarnya akui Sri, menggunakan khidmat orang buta ini ada pro dan kontranya. Kala mempunyai pekerja yang semuanya celik penglihatan, Sri tidak pernah ada masalah untuk menukar susun atur perabot dalam salunnya. Tetapi kini, setiap apa yang dilakukan perlu mengambil kira pekerja OKU ini.
Malah sebelum mereka memulakan tugasan di Soul of Java, Sri turut mengajar mereka menggunakan pengangkutan awam dari rumah ke salun. Bagi memudahkan lagi tugas golongan itu, setiap bahan yang digunakan telah disukat dan dibungkuskan mengikut setiap rawatan.
Justeru, andai ada yang ingin melakukan rawatan, golongan ini hanya perlu mengambil satu bungkus bahan yang diingini berdasarkan bau dan membancuhnya. Biarpun ia nampak remeh, namun bagi Sri langkah itu bukan sahaja memudahkan mereka bekerja tetapi cara tersebut sebenarnya dapat mengelakkan daripada berlakunya pembaziran dan kebersihannya lebih terjamin.
Selain menawarkan khidmat orang buta, lebih istimewa Soul of Java adalah sebuah spa yang hanya dikhususkan untuk wanita sahaja.
Seni Sampah bersama Fabrice Monteiro
6 years ago
No comments:
Post a Comment