Sunday, March 22, 2009

PENDIDIKAN KHAS

ARKIB : 19/03/2009
http://www.utusan.com.my/utusan/
Beri peluang murid pendidikan khas
Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
SETIAP tahun, semakin ramai pelajar istimewa dan kurang upaya menunjukkan prestasi luar biasa dalam bidang akademik di samping tidak kurang juga yang menonjol dalam aktiviti kurikulum.
Ini bukti kejayaan sistem pendidikan khas negara dalam usaha mengasah potensi murid-murid yang memerlukan perhatian dan bimbingan khusus terutama pada peringkat awal persekolahan.
Malangnya, kata Penyelaras Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Taman Kajang Utama, Abu Bakar Alias, stigma negatif masyarakat masih menjadi penghalang kepada golongan itu untuk terus berjaya dalam kehidupan.
''Kebanyakan mereka boleh berfungsi dengan normal apabila bercampur dengan masyarakat tetapi semua pihak perlu memberi sokongan masing-masing.
''Menyedari ramai di antara anak-anak kita sendiri sukar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3R), kami mengadakan karnival untuk menyerlahkan potensi mereka bermula peringkat prasekolah lagi,'' katanya.
MPP dan Rukun Tetangga Taman Kajang Utama bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menganjurkan Karnival Pendidikan Khas di Kajang, Sabtu lalu.
Dikendalikan 56 mahasiswa tahun tiga Program Pendidikan Khas UKM, karnival itu melibatkan lebih 100 pelajar pendidikan khas daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kantan, SK Seri Sekamat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Reko dan Taman Kajang Utama.
Pelbagai aktiviti diatur sepanjang karnival antaranya, kempen derma darah Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), jualan amal, pertandingan permainan tradisional dan sukan rakyat di samping pameran oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan.
Pengarah Program, Muhammad Hamdi Ishak, 24, menjelaskan, pendidikan khas terbahagi kepada empat iaitu;
lMasalah pembelajaran (autisme, hiperaktif)
lMasalah pendengaran, pertuturan
lMasalah penglihatan dan
lPemulihan (gagal menguasai 3R)
''Pun begitu, cabaran pada bakal guru pendidikan khas seperti kami adalah untuk mengembalikan keyakinan diri murid-murid khas ini yang terjejas pada peringkat awal usaha pembelajaran mereka.
''Jika gagal diasuh atau dipulihkan kelemahan penguasaan itu, tidak mustahil mereka boleh tercicir dalam pelajaran dan akhirnya dalam kehidupan mereka kelak,'' katanya.
Menurut Muhammad Hamdi, kaedah untuk mendidik murid-murid pendidikan khas memerlukan pendekatan yang lebih menjurus kepada kemahiran hidup, agar mereka lebih berdikari untuk meneruskan kehidupan.
Teknik pembelajaran dalam kelas menggunakan alat bantu mengajar (ABM) juga agak berbeza dengan bantuan muzik dan permainan untuk merangsang kreativiti murid berkenaan.
Murid Pemulihan Khas
Murid-murid yang sukar menguasai kemahiran 3M disebabkan faktor persekitaran dan bukan kognitif perlu mengikuti Kelas Pemulihan Khas bagi mengatasinya dan seterusnya mengikuti pembelajaran di kelas biasa.
Ciri-ciri murid pemulihan khas dikenal pasti menerusi emosi dan tingkah laku yang sentiasa risau, rendah diri, sedih, cepat bosan belajar, takut dan tidak bersedia mengikut arahan.
Mereka juga didapati gelisah, suka mengganggu rakan lain dalam kelas, perangai ganjil (hisap jari), kurang minat belajar dan masalah lain seperti gagal kenal pasti bentuk, turutan, bunyi, ruang serta lemah pergerakan, daya pemikiran dan memori.

3 comments: